Liga Super Malaysia Berita

Musim Liga Malaysia bakal bermula pada bulan Ogos sama seperti liga-liga Eropah

Liga Malaysia bakal bermula pada bulan Ogos dan berakhir pada bulan Mei tahun berikutnya, sama seperti kalendar liga-liga Eropah, dengan pelaksanaannya dijangka dalam beberapa tahun akan datang.

Ini setelah AFC mengumumkan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC akan diadakan daripada musim luruh (September) kepada musim bunga (April) dan akan dilaksanakan bermula musim 2023-2024.

Bagaimanapun, MFL berdepan cabaran untuk mengubah kalendar Liga Malaysia yang ketika ini beraksi daripada bulan Mac hingga November setiap tahun.

Malah, jadual Liga Malaysia akan menjadi lebih padat dengan 34 perlawanan liga bermula musim depan, tidak termasuk Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebab itu, perkara itu masih di peringkat kajian dan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua ke tiga tahun sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Masalah besar ketika ini adalah kalendar musim liga berjalan dari Januari hingga Disember, dengan kita mula saingan liga pada Februari hingga November,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam kepada Harian Metro.

“Sekarang pula kita kena habiskan pada Disember kerana ACL dan Piala AFC masih bermain pada Disember. Tambahan lagi tempoh aksi peringkat kumpulan ACL berlangsung separuh tahun.

“Disebabkan ini, kita tak boleh nak agak bila Piala AFF akan diadakan, biasanya ia pada hujung tahun. Tapi kalau kalendar AFC habis pada bulan Disember, itu bermakna Piala AFF akan mula pada Januari dan bila pula Piala AFF akan habis?

“Bila pula pasukan akan berehat dan menjalani pramusim, dan bila pula kita nak mula. Ini adalah rantaian yang akan beri kesan bukan saja dalam pertandingan bawah AFC tapi kita juga.

“Adakah kita perlu menukar kalendar musim kita? Perlukah kita menukarnya untuk memastikan pasukan kita mampu beraksi dalam kalendar AFC.

“Jadi, kita kena cari mekanisme baharu untuk menyokong semua kelab kita yang beraksi di peringkat AFC, kalendar liga kita perlu menyokong kalendar AFC, kelayakan FIFA, kelayakan AFC, Sukan SEA dan Piala AFF agar kita boleh mulakan kembali liga kita dengan perubahan kalendar.”