Berita Asian Cup

Indonesia bida tuan rumah Piala Asia 2023

Indonesia membuat bidaan secara rasmi untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.

Ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai negara kedua yang membida secara rasmi selepas Korea Selatan.

“Ada permohonan dari PSSI untuk jadi tuan rumah Piala Asia,” kata Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Zainudin Amali seperti dilaporkan CNN Indonesia.

“Kerajaan sudah bersetuju dan mempersilakan jadi tuan rumah.

“Hasilnya akan dilihat nanti kerana Korea Selatan, Jepun dan Australia juga berminat jadi tuan rumah. Kita menyokong PSSI jika mereka mahu jadi tuan rumah.”

Malah, katanya, Presiden Indonesia, Joko Widodo turut mengalu-alukan bidaan kepada AFC.

“Saya langsung laporkan kepada Presiden untuk meminta arahan. Kata beliau, silalah, kita akan memohon.

“Hari ini (28 atau 29 Jun) mereka (naib pengerusi dan setiausaha agung) akan ke AFC. Nanti mereka akan menyampaikan surat rasmi daripada PSSI untuk menjadi tuan rumah. Ini peluang yang bagus, kita menjadi peserta sekaligus jadi tuan rumah.”

Kali terakhir Indonesia menjadi tuan rumah adalah pada edisi 2007 bersama-sama Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Indonesia turut menamatkan penantian 15 tahun setelah kali terakhir beraksi pada 2007. Mereka juga tidak layak menyertai pusingan kelayakan bagi edisi 2019 setelah PSSI digantung oleh FIFA ketika itu.

Kata Zainuddin lagi, usul bidaan tersebut diluluskan kerajaan Indonesia memandangkan Piala Asia 2023 dianjurkan selepas Piala Dunia B20 yang turut dianjurkan oleh negara itu.

Piala Dunia B20 dijadual berlangsung pada Mei dan Jun 2023 manakala Piala Asia akan diadakan pada Jun dan Julai 2023.

Pada masa ini, Indonesia menyediakan enam stadium utama untuk Piala Dunia B20.

Zainuddin turut memberi jaminan bahawa kerajaan bersedia menyediakan stadium tambahan jika diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya Indonesia terpilih sebagai tuan rumah, kejohanan itu tidak akan terlalu membebankan kerajaan memandangkan sejumlah besar kemudahan untuk Piala Dunia B20 akan digunakan untuk Piala Asia 2023.

“Infrastruktur kita akan tetap bersedia dan sumber manusia juga akan tetap bersedia (untuk dikerahkan), justeru ia tidak terlalu sukar untuk kita melaksanakan Piala Asia 2023.”

Tempoh akhir menghantar permohonan rasmi sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 sepatutnya pada 30 Jun namun AFC membuat keputusan untuk melanjutkan sehingga 15 Julai ini.

Antara kriteria bidaan ialah negara tuan rumah mesti mempunyai sekurang-kurangnya lima stadium dengan 20,000 kapasiti, manakala stadium untuk perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir mesti mempunyai 40,000 kapasiti ke atas.

Pemenang bidaan tuan rumah akan diumumkan pada 17 Oktober ini.