Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui Dion Cools telah meluahkan hasratnya untuk beraksi dengan juara bertahan Liga Super itu.
Namun, katanya, pemain pertahanan berusia 26 tahun itu hanya boleh sertai JDT setelah kontraknya bersama kelab Denmark, FC Midtjylland berakhir pada 30 Jun 2023.
“Beliau memang ingin bermain di sini,” kata TMJ dalam sesi bersama peminat malam tadi.
“Kalau boleh kita nak tandatangan dalam jendela perpindahan sekarang, tapi itu susah sikit untuk kelab kerana melibatkan bajet dan kita terpaksa bayar pampasan kepada kelab tersebut kerana dia masih ada kontrak di sana.
“Saya cakap (kepada Cools), saya boleh sign dia tapi kemungkinan hujung tahun ini atau untuk tahun depan.”
TMJ bagaimanapun tidak terlalu bimbang jika Cools beraksi di JDT, berbanding beraksi di liga-liga Eropah.
“Dia tahu main di Eropah bukan senang, sangat kompetitif, dia rasa mungkin dia nak main di sini.
“Orang bijak sahaja dapat menilai projek bolasepak JDT, ramai juga penyokong Malaysia majoriti bukan penyokong JDT yang selalu mengatakan pemain harus bermain di luar.
“Baru-baru ini Malaysia layak ke Piala Asia guna 15 pemain JDT..seorang pun tak main luar negara, jadi saya tak nampak main di mana ada masalah.”