CEO Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik kontroversi padang Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini selepas perlawanan antara Malaysia dan Bahrain tidak dapat dijalankan dengan baik ekoran air yang bertakung kerana hujan sehingga ada kakitangan yang menggunakan penyodok sampah untuk mengeluarkan air.
“Perbadanan Stadium Malaysia berpendirian perlawanan Malaysia menentang Bahrain sebaiknya ditangguhkan sekurang-kurangnya 30 minit bagi memberikan masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik,” kata Faidz.
“Cadangan agar perlawanan itu ditangguhkan kepada jam 9.30 malam itu telah diutarakan, namun perlawanan tersebut tetap diteruskan seperti waktu sepak mula yang ditetapkan.”
Beliau menegaskan, penangguhan itu amat penting selepas menyaksikan hujan lebat tanpa
henti lebih dua jam di kawasan sekitar Bukit Jalil.
“Tindakan ‘penyodok sampah’ adalah tidak wajar dan secara tidak langsung mengakibatkan padang tersebut rosak.
“PSM sekali lagi ingin menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan FAM dan AFC bagi memastikan baki perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.”
Katanya lagi, PSM bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran padang stadium yang dijadualkan bermula suku pertama tahun hadapan.
Ini termasuk lain-lain penambahbaikan Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh penganjur pada tahun ini.