Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Harimau Malaya kerja keras ubah cara permainan

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mengakui sedang berusaha untuk mengubah cara permainan skuad kebangsaan ke arah lebih positif.

Hasil usahanya itu akan diuji apabila Malaysia bertemu Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

“Apa yang penting, kita bukan nak menang satu perlawanan sahaja,” kata Pan-gon dalam sidang media.

“Tetapi kita nak pastikan, yang kita main adalah cara Malaysia, DNA Malaysia.

“Kita sudah mula ada falsafah sendiri untuk menang, kita kerja keras untuk ubah cara permainan.”

Pada masa sama, katanya, cara permainan itu penting kerana ia akan memberi kesan kepada semua pihak termasuklah peminat.

“Kita mahu peminat tahu, kita bukan hanya berikan yang terbaik untuk satu minggu, tetapi mereka (pemain) berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Kita nak menang untuk peminat, kerana kita ada semangat, kita mahukan cara permainan yang dinamik, agresif, mendominasi perlawanan. Sekurang-kurangnya kita mahu peminat merasa bangga.

“Mesti kena ada semangat dan bersatu padu. Bagaimana kita akan memastikan Malaysia bersatu, itu yang kita usahakan.

“Bukan menang satu perlawanan, semua orang gembira. Tidak kira apa jua keputusan, kita semua kena bersatu padu.”