Liga Super Malaysia Berita

Terengganu hantar surat kepada MFL, minta tukar waktu sepak mula dari 8.15 malam ke 9 malam

Terengganu membuat keputusan untuk menghantar surat kepada MFL bagi memohon pindaan masa sepak mula untuk perlawanan di Terengganu yang melibatkan pasukan Terengganu dan Terengganu FC II.

Ini selepas sepak mula bagi perlawanan saingan Liga Malaysia musim ini telah ditukar kepada jam 8.15 malam berbanding 8.45 malam seperti musim-musim lalu.

“Masa yang telah ditetapkan ini dilihat bakal menimbulkan masalah buat pasukan serta para penyokong yang ingin hadir ke stadium,” kata kenyataan yang disiarkan oleh Terengganu menerusi laman sesawangnya.

“Ini kerana jadual sepak mula di negeri ini perlu mengambil kira banyak pihak terutama apabila melibatkan waktu solat kerana hampir 90 peratus pemain dan pegawai pasukan ini adalah beragama Islam termasuk para penyokong di negeri ini.

“Waktu baru yang ditetapkan dilihat bakal menyukarkan pasukan terutama para pemain dan pegawai yang ingin menunaikan solat maghrib dan keluar untuk sesi pemanas badan sebelum sepak mula.

“Ia menjadikan waktu persiapan para pemain menjadi terlalu singkat dan ini boleh menjejaskan persediaan pasukan.”

Selain dari itu, katanya, ia juga bakal mengurangkan bilangan penyokong ke stadium kerana dilihat terlalu awal bagi penyokong untuk tiba ke stadium kerana kebiasaannya mereka dapat solat di rumah dan masjid terlebih dahulu.

“Pihak Terengganu Football Club Sdn Bhd dalam surat permohonan telah memohon untuk waktu sepak mula bagi perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dipinda ke jam 9.00 malam seperti mana tahun-tahun terdahulu.

“Pihak pengurusan kini sedang menunggu surat balas serta kelulusan dari pihak MFL untuk memastikan waktu bukaan pintu masuk serta segala yang berkaitan dengan pasukan bolah diuruskan.”