Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) digantung selama 6 bulan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan yang dikemukakan daripada kedua-dua pihak iaitu PAFA dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA.
Beliau menjelaskan, pemecatan 12 Ahli Gabungan PAFA yang diumumkan pada November tahun lalu adalah tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan persatuan.
“Kita mendapati pemecatan itu dibuat secara tidak teratur, berdasarkan kepada Perlembagaan PAFA,” katanya kepada Astro Awani.
“Itu keputusan yang kita dapati dan juga telah dimaklumkan kepada kedua-dua belah pihak.
“Dan semakan ke atas kongres yang diadakan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA yang mana telah diterajui Persatuan Bola Sepak Melayu Perak juga didapati tidak terpakai kerana ada masalah teknikal berhubung kelayakan ahli-ahli gabungan.
“Berdasarkan rekod yang kami perolehi, kami dapati mereka ini tidak membayar yuran keahlian PAFA. Justeru mereka tidak boleh mengadakan kongres seperti itu.”
Oleh itu, pihaknya akan mengeluarkan notis penggantungan kepada PAFA dalam tempoh terdekat selain badan induk itu turut diminta mengemukakan surat maklum balas dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kira-kira sejam bersama PAFA dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak hari ini.
Pertemuan dihadiri wakil daripada kedua-dua pihak antaranya Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sementara Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA diwakili Tajul Hasnan Omar.
Pada masa sama, Ibrahim berkata, PAFA diminta untuk segera mengadakan kongres ataupun pemilihan bagi memberi ruang kepada pemilihan barisan kepimpinan baharu dalam tempoh pergantungan yang dikenakan.
Katanya, tempoh penggantungan akan disemak semula sebaik sahaja pemilihan jawatankuasa kepimpinan baharu selesai.
Jelas beliau lagi, ketika ini pesuruhjaya sukan hanya mengiktiraf kepemimpinan PAFA bagi penggal 2018-2021.
“Berdasarkan kepada Perlembagaan PAFA, persatuan itu perlu mengadakan pemilihan sebelum tamat tempoh penggal.
“Apabila ada pelepasan jawatan, persatuan perlu mengadakan kongres untuk pemilihan pemangku presiden.
“Ini bermakna pelantikan presiden baharu perlu diadakan segera. Jadi, apabila tidak diadakan, ada pihak yang mendesak supaya diadakan dan diselesaikan mengikut Perlembagaan.
“Bukan sahaja PAFA, malah ada juga persatuan-persatuan lain yang mana mereka tidak memahami Perlembagaan masing-masing. Jika kepimpinan faham proses dan Perlembagaan, saya rasa tidak timbul pertikaian dalaman seperti ini.”