RTM diumumkan sebagai rakan penyiar rasmi Liga Malaysia bagi musim 2022.
Sebagai rakan penyiar, RTM bakal menyiarkan 44 perlawanan liga termasuk Liga Super yang bakal bersiaran mulai 4 Mac 2022, Piala FA dan Piala Malaysia, namun ianya tertakluk kepada sebarang perubahan dari semasa ke semasa.
Ini adalah kesinambungan kerjasama RTM sebelum ini bersama-sama pihak MFL dan TM dalam penganjuran Liga Malaysia tahun lalu.
Justeru, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama pada tahun 2022 dengan menjalin persefahaman yang menjadikan RTM selaku rakan penyiar Unifi.
“Bertepatan dengan slogan ‘Sukan Terbaik Hanya di RTM’,” kata Bahagian Perhubungan Awam RTM.
“Peminat sukan bola sepak tempatan bakal disajikan dengan aksi terbaik sepanjang kempen Liga Malaysia tahun ini apabila RTM diumumkan selaku penyiar Liga Malaysia 2022.
“Kerjasama yang dibentuk merupakan antara matlamat utama RTM dalam memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab sosial.
“Serta selaku hos penyiar bersama stesen tidak berbayar milik kerajaan, atau Free to Air (FTA) untuk memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay per view.”
Saingan Liga Malaysia musim 2022 akan bermula pada 26 Februari ini dengan sepak mula perlawanan Piala Sumbangsih yang menyaksikan pertemuan antara juara Liga Super Johor Darul Takzim, JDT dan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC.
Tontonan secara langsung disiarkan oleh RTM dalam tiga platform iaitu melalui saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM serta RTM Klik.