Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui ketidakupayaan berdepan dengan corak permainan intensiti tinggi dari pasukan Indonesia adalah faktor utama pasukannya mengalami kekalahan 1-4 kepada musuh tradisi mereka dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2020 malam tadi.
Cheng Hoe menegaskan anak buahnya gagal untuk bangkit dalam perlawanan wajib menang untuk layak ke separuh akhir walaupun beraksi dengan baik dalam 15 minit pertama, yang menyaksikan mereka berjaya membuka tirai jaringan menerusi serangan R. Kogileswaran pada minit ke-12.
Selain itu, Cheng Hoe turut memaklumkan pasukannya benar-benar terkesan dengan ketiadaan dua pemain pertahanan tengah, Kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak dan Shahrul Mohd Saad yang disisihkan akibat kecederaan, menyebabkan pasukan itu dibolosi gol mudah dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Singapura.
“Kami tidak cukup kuat dalam situasi satu lawan satu,” katanya kepada Bernama.
“Kami gagal menahan pemain mereka yang sangat pantas terutama dalam transisi permainan. Secara keseluruhan, kami kecewa dengan keputusan itu dan kami perlu lupakannya untuk maju ke depan.”
Mengulas mengenai strategi ‘menolak’ pemain pertahanan, Dion Cools bermain di bahagian atas pada separuh masa kedua, Cheng Hoe berkata beliau mengambil risiko berkenaan demi melihat pemain kelab berpangkalan di Denmark, FC Midtjylland itu untuk membantu pasukannya menyamakan kedudukan selepas mereka ketinggalan satu gol pada separuh masa kedua.
Malangnya, Cheng Hoe berkata strategi itu ternyata memakan diri apabila gawang pasukannya ‘bocor’ sebanyak dua kali, sekali gus menyebabkan skuad negara gagal mencapai sasaran untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, selepas edisi terakhir pada 2018.
Malaysia menduduki tempat ketiga kumpulan dengan enam mata daripada empat perlawanan.
Keputusan ini juga menyaksikan Harimau Malaya gagal melepasi peringkat kumpulan kejohanan dwitahunan itu buat kali kedua sejak 2016 dalam enam penganjuran terakhir.
Ia adalah kekalahan ketiga Malaysia kepada Indonesia dalam lima pertembungan terakhir mereka di pentas Piala AFF.
Kemenangan ke atas Malaysia itu membolehkan Indonesia yang dibimbing oleh Shin Tae-yong mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan dengan kutipan 10 mata, sama seperti Vietnam yang berada di tangga kedua dengan jurang perbezaan gol.