Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa AFF membenarkan penggantian penjaga gol Khairulazhan Khalid yang dijangkiti Covid-19 bagi skuad Piala AFF Suzuki 2020.
Ini setelah permohonan rasmi FAM diluluskan AFF selepas perbincangan bersama wakil-wakil negara AFF berlangsung semalam.
“Mereka memahami keadaan kita dan setuju benarkan kita menamakan pemain baharu,” katanya kepada Bernama.
“FAM ucapkan terima kasih kepada AFF kerana meluluskan permohonan itu.”
Bagaimanapun, beliau berkata proses pertukaran pemain itu akan mengambil sedikit masa kerana perlu melalui beberapa prosedur ditetapkan kerajaan Singapura.
FAM sebelum ini mengesahkan dua pemain skuad Harimau Malaya iaitu penjaga gol Khairulazhan dan pemain sayap Faisal Halim, disahkan positif COVID-19.
Mereka disahkan positif selepas menjalani ujian saringan yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Jumaat lalu.
Mereka diarahkan kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari sekali gus terlepas tiga aksi pertama Kumpulan B.
Malaysia yang menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan akan bertemu Laos, esok.