Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyifatkan beliau telah pun memanggil ramai pemain muda negara yang berpotensi untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2020.
Ini meskipun Arif Aiman Hanapi tidak dimasukkan dalam senarai 28 pemain untuk kem latihan pusat yang diumumkan baru-baru ini.
“Kita sudah masukkan beberapa nama,” katanya kepada Bernama.
“Contohnya Luqman Hakim Shamsudin yang memang telah bersama pasukan negara, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Azri Ghani untuk diberi peluang.
“Nama-nama ini kita rasa mereka mempunyai masa depan yang bagus dan kita akan beri peluang kepada mereka.”
Cheng Hoe juga menganggap Piala AFF Suzuki 2020 merupakan peluang terbaik untuk Azri Ghani menonjolkan keupayaannya di peringkat lebih tinggi.
“Kita telah memantau Azri sejak dia bersama skuad Bawah 19 Tahun kendalian Bojan Hodak lagi dan saya rasa ini lah masa terbaik untuk dia diberi peluang bersama pasukan senior.”
Daripada 28 pemain dipanggil, 9 daripadanya merupakan pemain berusia 23 tahun dan ke bawah dengan Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal masing-masing berusia 19 dan 20 tahun adalah pemain termuda dalam pasukan.
Pada Piala AFF 2020, Malaysia yang menyasarkan untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut akan memulakan kempen saingan Kumpulan B berdepan Kemboja pada 6 Dis diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada 19 Dis.