Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe akui kelemahan skuad Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe mengakui masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki skuad kebangsaan sebelum beraksi di Piala AFF Suzuki 2020 pada Disember ini.

Ini setelah Malaysia pulang dengan dua kekalahan iaitu tewas 4-0 kepada Jordan dan 5-1 kepada Uzbekistan.

“Kita tak boleh nak kata kita sudah capai objektif,” kata jurulatih negara itu.

“Jauh lagi untuk membandingkan kita dengan pasukan-pasukan dari Asia Barat dan Asia Tengah.

“Masih lagi perlu buat kerja-kerja rumah yang terbaik untuk persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023.

“Daripada dua perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan ini, nampak kita masih lagi memerlukan pemain-pemain yang lebih berpengalaman di medan antarabangsa dan pemain-pemain yang ada keinginan untuk meningkatkan prestasi mereka.”

Beliau juga mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi barisan pertahanan negara hingga mereka dibolosi 9 gol dalam dua perlawanan.

“Kita nampak terlalu banyak kesalahan individu menentang Jordan dan kalau kita lihat pada perlawanan semalam (Uzbekistan), kesalahan individu telah dapat kurangkan tetapi dari segi bertahan sebagai satu pasukan kita kena kemaskan lagi.

“Apabila menyerang pula, pemain perlu bijak memberi hantaran yang baik serta memiliki kawalan bola, teknik dan kemahiran tinggi menentang pasukan yang jauh lebih baik daripada kita, jadi saya harap pemain dapat belajar daripada dua perlawanan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan tindakannya mempertaruhkan gandingan kapten pasukan Aidil Zafuan dan Irfan Zakaria kerana pengalaman dimiliki mereka di pentas antarabangsa.

Disebalik keputusan buruk, Cheng Hoe menyifatkan banyak aspek dipelajari pemain bagi meningkatkan prestasi dalam perlawanan akan datang selain membantu barisan kejurulatihan sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura pada Disember ini dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 awal tahun depan.

“Secara keseluruhan, nampak lebih banyak perkara positif daripada negatif pada perlawanan dengan Uzbekistan ini berbanding ketika kita tewas kepada Jordan, tempoh hari.

Beliau juga berpuas hati dengan prestasi Faisal Halim yang diturunkan dalam kedua-dua perlawanan.

Katanya, percaturan menurunkan Faisal dalam kesebelasan utama membuahkan hasil apabila pemain sayap itu menggunakan kepantasan dimilikinya untuk menandingi aspek fizikal pemain lawan.

“Terdapat sedikit peningkatan dari segi persembahan pasukan dan juga pemain.

“Bukan saja Faisal Halim yang nampak menonjol dalam kedua-dua perlawanan, secara keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan ke skuad Piala AFF dan skuad Piala Asia.

“Secara keseluruhan, memang Mickey yang kita nampak antara menonjol dalam dua perlawanan di Jordan.”

Selain Faisal, Cheng Hoe turut gembira dengan prestasi Luqman Hakim Shamsudin yang menggantikan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula ketika menentang Uzbekistan, selepas hanya turun sebagai pemain simpanan sebelum ini.

Katanya, penyerang muda itu mempunyai teknik serta kawalan bola baik selain kadang kala memberi ancaman dan menggusarkan benteng pertahanan Uzbekistan yang memiliki saiz badan agak besar.

Ditanya sama ada sudah ada barisan pemain yang diinginkan, Cheng Hoe masih mempertimbangkan senarai pemain akan datang.

“Tetapi kita nampak ada dua hingga tiga pemain yang boleh digilap sebagai persediaan pada masa depan selepas aksi di Jordan.”

Cheng Hoe juga berharap agar FAM dapat mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan yang berkedudukan lebih baik pada bulan depan sebelum menghadapi saingan Piala AFF Suzuki.

Katanya, pemain dapat mengutip pengalaman berguna sekiranya mereka berpeluang bermain dengan pasukan yang lebih baik selain mencuba untuk memperbaiki ranking negara yang berada pada tangga ke-154 di dunia ketika ini.