Liga Super Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe mahu rombak kesebelasan skuad Harimau Malaya

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berhasrat untuk merombak kesebelasan skuad kebangsaan yang akan berdepan Uzbekistan malam ini.

Ini selepas pasukannya tewas kepada Jordan 4-0 dua hari lalu, sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, beliau masih menilai pemain yang sesuai untuk diturunkan.

“Sama ada mungkin kita akan kekalkan De Paula atau sebaliknya, kemungkinan kita akan bermula dengan Syafiq Ahmad atau Luqman dengan kedua-dua pemain itu ada potensi yang baik juga di pentas antarabangsa,” katanya kepada Berita Harian.

“Bukan sahaja di bahagian serangan, kita perlu lihat keseluruhan pasukan termasuk bahagian tengah, pertahanan dan juga penjaga gol.”

Malah beliau berkata, akan ada perubahan di bahagian tengah.

“Kemungkinan besar (ada perubahan) kerana Nazmi tempoh hari mengalami sedikit kecederaan dan kami perlu lihat sama ada dia sudah pulih 100 peratus atau sebaliknya.

“Sekiranya Nazmi tidak dapat beraksi, kami masih ada pemain-pemain lain yang boleh mengisi kekosongannya.”