Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa status kecederaan Dion Cools dimaklumkan sendiri oleh kelabnya FC Midtjylland.
Ini selepas timbul persoalan mengenai status Cools selepas beliau diturunkan kira-kira permainan berbaki 10 minit pada aksi Liga Denmark menentang AGF, yang menyaksikan FC Midtjylland menang 4-0.
Kata Cheng Hoe, kelab itu yang memaklumkan bahawa Cools tidak berada pada tahap kecergasan terbaik selepas pulih daripada kecederaan untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan.
“Pegawai pasukan sentiasa berkomunikasi dengan pihak atasan kelab tersebut,” katanya kepada Bernama.
“Dan dia belum lagi 100 peratus pulih daripada kecederaan.
“Memang kita rasa rugi tetapi sudah tentu setiap kali pemain datang ke skuad kebangsaan, kita nak pastikan pemain tersebut berada pada tahap terbaik sepenuhnya, bebas daripada kecederaan.”
Disebalik kontroversi itu, Cheng Hoe melihat perkara itu dari sudut positif sekali gus menepis dakwaan Cools atau FC Midtjylland menipu berhubung status kecederaan pemain berkenaan.
“Mungkin 10 minit terakhir itu sebahagian daripada proses pemulihan untuk pemain tersebut, yang penting kita lihat masa depan Dion Cools bersama skuad kebangsaan,” kata Cheng Hoe.
Kesemua 22 pemain yang dibawa ke Jordan bebas daripada sebarang kecederaan dan mereka sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cuaca berbeza selepas menempuh perjalanan jauh selama 17 jam menaiki kapal terbang.
Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Okt, dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Okt.