Malaysia Berita

FAM mahu adakan dua perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF Suzuki

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa pihaknya berancang untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan menjelang saingan Piala AFF Suzuki pada Disember ini.

Namun katanya, buat masa ini, barisan pemain dijangka menyertai kem latihan bermula Oktober ini.

Sebaliknya, perlawanan persahabatan hanya akan ditentukan kemudian, berikutan kekangan logistik disebabkan pandemik Covid-19.

“Pada masa sekarang, kita belum ada lagi negara yang boleh diadakan perlawanan persahabatan berikutan kekangan membabitkan masa dan pandemik Covid-19,” katanya kepada Harian Metro.

“Kita akan memanggil barisan pemain terlebih dahulu untuk menyertai sesi latihan dan seterusnya barulah menentukan perlawanan persahabatan nanti.

“Apa yang penting, kali ini kita akan manfaatkan peluang yang ada untuk melakukan persiapan rapi bukan saja untuk mengharungi perlawanan Piala AFF namun turut membabitkan Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia tahun depan.”

Kejohanan Piala AFF dijadualkan berlangsung dari 5 Disember sehingga 1 Januari tahun depan.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan berdepan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijangka berlangsung Februari tahun depan.