Liga Super Malaysia Berita

Ong Kim Swee tinggalkan FAM, terima tawaran ketua jurulatih Sabah

Ong Kim Swee membuat keputusan mengejut apabila meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal FAM, walaupun baru sahaja dilantik awal tahun ini.

Ini selepas beliau menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih Sabah yang baharu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Ong telah menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut semalam.

“Pihak pengurusan FAM telah menerima peletakan jawatan tersebut, seterusnya mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beliau ke jawatan baharunya itu berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama FAM dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya bersama Sabah FC.”

Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember depan telah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula dari tahun 2007 dengan pelbagai jawatan iaitu ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal bermula Januari 2021.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.