Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh mengesahkan bahawa pihaknya telah membayar tunggakan gaji selama dua bulan bagi dua bekas pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Careca.
Malah, Perak telah menyelesaikan tuntutan bekas pemain import dari Korea Selatan, Jeon Hyo-seok secara ansuran dengan bayaran pendahuluan telah pun dibuat baru-baru ini.
Azman berkata, gaji Leandro dan Careca yang tertunggak pada Mei dan Jun lalu itu telah diselesaikan sebelum 31 Ogos.
“Sementara itu, tuntutan ejen kepada Leandro Dos Santos, Raianderson Da Costa Morais dan Guilherme de Paula pula akan dibuat secara ansuran mulai bulan hadapan, setelah Perak FC berunding dengan ejen ketiga-tiga pemain dari Brazil itu,” katanya dalam kenyataan.
“Perak FC ingin menjelaskan bahawa penyelesaian ini perlu dilakukan kerana ia berkaitan dengan lesen kelab. Kegagalan membuat penyelesaian akan menyebabkan Perak FC tidak akan diberi lesen untuk menyertai Liga Super pada tahun hadapan.
“Gaji bagi kesemua pemain-pemain Perak FC juga telah diselesaikan dan tiada sebarang tunggakan berkenaan isu berkenaan.”
Katanya, isu-isu yang berkaitan seperti dengan LHDN, KWSP dan PERKESO juga perlu dikemaskini dan Perak FC sudah membuat perbincangan dengan agensi-agensi berkenaan.
“Perak FC merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kerana banyak membantu Perak FC dalam mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan
segala tuntutan.”
Pada 10 Ogos lalu, Leandro dan Careca memfailkan saman melalui peguam mereka di United Kingdom apabila Perak gagal melunaskan tuntutan gaji.