Premier League Berita

Selepas lebih 10 tahun, Cristiano Ronaldo akhirnya kembali ke Man United

Cristiano Ronaldo membuat keputusan untuk kembali ke Manchester United, selepas lebih 10 tahun meninggalkan kelab yang membantunya menjadi seorang pemain berkelas dunia.

Penyerang berusia 36 tahun itu sudah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Juventus dan membuat rundingan dengan Manchester City, tetapi ia gagal di saat-saat akhir.

Menurut Fabrizio Romano, Man City membuat keputusan untuk menamatkan rundingan tersebut dan tidak akan menandatangani Ronaldo, malah tidak mencapai sebarang persetujuan berhubung terma peribadi dan yuran perpindahan.

Sebaliknya, Man United tampil menghubungi ejen Jorge Mendes bahawa kelab gergasi England itu berminat untuk menandatangani Ronaldo semula.

Apabila Ronaldo mendapat tahu kelab kesayangannya berminat untuk menandatanganinya, beliau terus meminta ejennya supaya menghantar mesej bahawa beliau berhasrat untuk kembali ke Old Trafford secepat mungkin.

Hanya selang sejam selepas itu, Mendes menerima tawaran kontrak rasmi dua tahun daripada Man United.

Dalam tempoh yang sama, Juventus turut menerima bidaan rasmi berjumlah €25 juta euro daripada Man United untuk melengkapkan perpindahan tersebut.

Sejam selepas itu, Man United membuat pengumuman rasmi bahawa Cristiano Ronaldo akan kembali ke Old Trafford.

Menurut kenyataan rasmi, Manchester United dengan sukacitanya mengesahkan bahawa kelab telah mencapai persetujuan dengan Juventus untuk perpindahan Cristiano Ronaldo, tertakluk pada persetujuan syarat peribadi, visa dan pemeriksaan kesihatan.

“Semua orang di kelab berharap dapat menyambut Cristiano kembali ke Manchester.”

Sebaik selepas pengumuman rasmi itu, Ronaldo mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan Juventus di akaun Instagram miliknya dan menzahirkan penghargaannya kepada kelab gergasi Itali itu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)

Ronaldo merupakan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, telah memenangi lebih dari 30 piala utama sepanjang kariernya, termasuk lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah, empat Piala Dunia Kelab FIFA, tujuh gelaran liga di England, Sepanyol dan Itali, dan Kejuaraan Eropah untuk Portugal.

Sepanjang berada di Manchester United sebelum berhijrah ke Real Madrid, Ronaldo menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan.