Liga Super Malaysia Berita

Stuart Ramalingam dilantik CEO baharu MFL

Stuart Ramalingam telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL baharu bermula 1 September ini bagi menggantikan Datuk Ab Ghani Hassan yang dilantik sebagai Presiden MFL minggu lalu.

Ghani berkata, Stuart dilantik berdasarkan pengalaman lebih 15 tahun yang dimiliki beliau dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan CEO MFL baharu selepas saya dipilih menjadi Presiden MFL pada minggu lepas,” kata Ghani dalam kenyataan.

“Saya bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara telah bersetuju untuk melantik Stuart sebagai CEO MFL baharu.

“Seperti saya katakan pada sesi sidang media pada minggu lalu, pengalaman antara kriteria penting buat CEO MFL di mana saya yakin bahawa kehadiran Stuart sudah pasti bakal memberikan anjakan paradigma kepada senario bola sepak tempatan.

“Saya ingin mengalu-alukan kedatangan Stuart dan saya percaya beliau mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada MFL.

Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart memulakan karier pengurusan dalam bola sepak pada 2008 selepas dilantik oleh FIFA sebagai ‘Professionalisation Consultant’ yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Empat tahun kemudian, Stuart telah dilantik menjadi CEO Malaysian Super League (MSL) pada 2010 and diberikan kepercayaan untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek-aspek komersial badan induk persatuan ini.

Pada 2012, Stuart menyertai AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk AFC Champions League, AFC Cup dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran dan juga Pengarah Social Responsibility.

Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudiannya menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014.

Di Dentsu Sports, Stuart mengambil alih jawatan Naib Presiden selama empat tahun sehingga tahun 2018 ini dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum Stuart bertugas di Pejabat Setiausaha Agung di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula pada 16 Julai 2018.