Liga Super Malaysia Berita

Selangor terima surat rasmi dari kelab Sepanyol, Sikh Izhan terbang ke Eropah pada November ini

CEO Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima surat rasmi daripada kelab La Liga Segunda, CF Fuenlabrada bagi membolehkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menjalani sesi percubaan pada bulan November ini.

Katanya, penjaga gol berusia 19 tahun itu akan terus berada dalam skuad utama Selangor untuk menghadapi saingan Liga Super selepas membuat penampilan pertama, sebelum menyertai skuad kebangsaan B-23 yang akan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia pada Oktober ini.

Selepas itu, barulah Sikh Izhan akan menyertai sesi percubaan bersama kelab La Liga Sepanyol, CF Fuenlabrada.

“Sikh Izhan akan terbang dari Mongolia ke Sepanyol pada November ini,” kata Johan kepada Harian Metro.

“Kita pun tidak mahu kecergasannya terjejas apabila terpaksa pulang ke tanah air di mana perlu menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Lebih baik dia terus pergi ke sana selepas bermain untuk skuad negara dalam Kelayakan AFC B-23 di Mongolia nanti. Maksudnya, di pihak Selangor kita tidak ada masalah tetapi dia kena habiskan dulu baki saingan liga dan bantu skuad negara.

“Selepas itu kita beri tempoh selama sebulan untuknya di Sepanyol nanti dan saya dimaklumkan akan ada beberapa siri percubaan dengan kelab lain juga.

“Tempoh sebulan itu kita tidak akan ganggunya dan dia boleh manfaatkan tempoh berkenaan.”

Pada masa sama, ejen Sikh Izhan mengesahkan bahawa pemain muda kelahiran Pulau Pinang itu turut akan menjalani percubaan dengan sebuah pasukan Liga Belgium.

“Jadi selepas itu Sikh boleh sertai sesi ujian di mana selain kelab Sepanyol, dia juga akan ke Belgium. Jika terpilih salah satu daripada dua kelab itu, akan ada perbincangan lanjut antara kelab baru dengan Selangor nanti.

“Bagi saya, tempoh itu mencukupi buat Sikh Izhan bagi memperagakan kebolehannya sekaligus berusaha bermain di Eropah seperti mana impiannya sejak kecil.”