Liga Super Malaysia Berita

Liridon Krasniqi bakal beraksi di Liga Super India

Liridon Krasniqi dijangka menyertai sebuah kelab Liga Super India, lapor media tempatan India.

Menurut IFTWC, pemain tengah berusia 29 tahun itu akan melengkapkan perpindahan ke Odisha FC sebelum musim baharu bermula pada November ini.

Beliau akan mengisi kuota AFC dan akan beraksi dibawah kendalian jurulatih, Kiko Ramirez dan akan beraksi bersama dengan tiga lagi import baharu Odisha iaitu Victor Mongil, Aridai Cabrera dan Hector Rodas.

Ini selepas tempoh pinjamannya dengan kelab Australia, Newcastle Jets United berakhir pada 1 Julai lalu.

Jika menjadi kenyataan, beliau akan menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi di India sejak Stanley Bernard yang beraksi dengan Sporting Clube de Goa pada 2010.

“Disebabkan kontrak pinjaman saya berakhir, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih to Newcastle Jets untuk bulan yang penuh fantastik. Keluarga besar. Selamat maju jaya untuk musim mendatang, dari Matdon,” katanya di Instagram baru-baru ini.

Sepanjang enam bulan di Australia, pemain naturalisasi Harimau Malaya itu membuat sembilan penampilan di A-League.

Liridon juga membuat penampilan sebanyak empat kali dengan skuad kebangsaan iaitu ketika Harimau Malaya bertemu Bahrain, UAE, Vietnam dan Thailand.