Penyerang Colombia, Radamel Falcao dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut laporan sebuah portal Turki iaitu Fotomac, JDT telah menghubungi kelab yang diwakili Falcao iaitu Galatasaray bagi mendapatkan khidmatnya.
Katanya lagi, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Idris sendiri yang menguruskan perpindahan tersebut dan mahu membawa masuk penyerang ternama itu ke Malaysia.
Bagaimanapun, TMJ mahupun JDT belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Falcao yang kini berusia 35 tahun berhijrah dari Monaco ke Galatasaray pada 2019 dan menjaringkan 19 gol sepanjang dua musim bersama kelab gergasi Turki itu.
Namun, Presiden Galatasaray, Burak Elmas baru-baru ini mendedahkan bahawa mereka tidak lagi mampu untuk membayar gaji Falcao dan meminta beliau untuk mencari kelab baharu.
“Saya sudah bercakap dengan Falcao dan Soufiane Feghouli,” katanya kepada wartawan.
“Mereka memberikan perkhidmatan yang sangat baik kepada kami tetapi dengan struktur gaji ketika ini, kami tidak dapat membayar gaji mereka. Kami mahu mereka mencari kelab lain.
“Saya harap mereka akan memberi maklum balas dan mereka akan mencari kelab untuk diri mereka dalam masa yang singkat.
“Kami berpisah dengan hubungan baik. Ini keputusan pengurusan dan kami tidak akan mempertimbangkan untuk kekalkan mereka untuk musim baharu.”