Liga Super Malaysia Berita

Gara-gara tiga bulan tunggakan gaji, Leandro dan Careca kini mahu saman Perak

Pengurus Besar Perak, Azman Noh mendedahkan bahawa bekas pemainnya Leandro dan Careca mahu menyaman pihak pengurusan ekoran tunggakan gaji tiga bulan yang masih belum diselesaikan.

Beliau berkata, pihaknya sebenarnya berhasrat untuk mendapatkan kembali khidmat mereka, namun mereka enggan meneruskan rundingan.

“Pada mulanya, kita ingatkan punca mereka tarik diri disebabkan isu visa ahli keluarga mereka yang tidak diperbaharui dan tertangguh sejak enam atau tujuh bulan lepas,” katanya kepada Harian Metro.

“Bila perkara itu telah diselesaikan, kita ingatkan mereka bersetujulah untuk kembali pada pasukan.

“Namun rupanya, mereka tetap tidak mahu kembali. Alasan yang diberi adalah mereka sedang menunggu keputusan peguam mereka di United Kingdom untuk meneruskan saman terhadap kelab disebabkan tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.”

Sebelum ini, Leandro dan Careca dilaporkan meninggalkan Perak melalui surat penamatan kontrak yang dihantar kepada pihak pengurusan kelab pada 26 Julai lalu.

Namun, sejak kedua-dua pemain itu meninggalkan Perak, prestasi pasukan merudum sehingga berada di tangga kedua tercorot Liga Super ketika ini dan kemungkinan besar akan tersingkir ke Liga Premier pada musim depan.

“Kita menghadapi masalah daripada sudut karenah dan sikap pemain itu sendiri terutama dua pemain dari Lubnan, Jad Noureddine dan Samir Ayass.

“Asalnya kita minta mereka beraksi dengan Perak II untuk tengok aksi mereka, tapi mereka berkeras tidak mahu ikut latihan dan bagi alasan cedera.

“Lagi dua pemain import, Zoubairou Garba dari Cameroon dan Ghislain Guessan dari Ivory Coast langsung tiada kualiti. Aksi mereka lebih teruk dan tidak setanding dengan pemain tempatan termasuk yang berada dalam pasukan Perak II.”

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak terlibat dengan pengambilan pemain import.

Bukan itu sahaja, Azman mendedahkan bahawa tiga pemain yang ditandatangani pada jendela perpindahan kedua iaitu Azhar Apandi, Mohd Syamin Baharuddin dan Mohd Aizzat Maidin Koty tidak dapat beraksi hingga akhir musim berikutan kegagalan kelab untuk mendaftarkan mereka dengan MFL.

“Saya dimaklumkan kesilapan berpunca daripada kegagalan pihak kelab menyertakan sijil perpindahan mereka sebagai dokumen yang perlu dihantar ke MFL.”