Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras boleh digunakan untuk saingan Liga Super dan Liga Premier yang akan bermula pada 24 Julai ini.
Ini selepas wujudnya kebimbangan bahawa sebanyak 8 pasukan di Lembah Klang terpaksa mencari venue baharu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut pegawai MFL, ini kerana stadium tersebut tidak termasuk dalam lokaliti PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ini bermakna pasukan Kuala Lumpur boleh menggunakan stadium mereka untuk latihan dan perlawanan liga.
PDRM yang berkongsi stadium dengan KL juga boleh menggunakannya untuk saingan Liga Premier.
Sebelum ini, CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan bahawa semua pasukan dibenarkan menjalani latihan menerusi Camp Based Training.
Namun, katanya, pasukan-pasukan yang berada di negeri di PKPD perlu mencari venue baharu perlawanan bagi saingan Liga Super dan Liga Premier, kerana sebarang perlawanan Liga Malaysia termasuk perlawanan latihan tidak dibenarkan berlangsung di kawasan PKPD.
Selain KL City dan PDRM, turut terkesan dengan PKPD adalah Selangor 2 (Stadium Majlis Perbandaran Selayang), Selangor dan PJ City (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya), UiTM dan Skuad Projek FAM-MSN (Stadium UiTM, Shah Alam) serta Negeri Sembilan (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi).