Liga Super Malaysia Berita

Sabah perbaharui kontrak Saddil Ramdani hingga hujung 2022

Sabah membuat keputusan untuk memperbaharui kontrak pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani hingga November tahun depan.

Pengurus Sabah, Marzuki Nasir berkata kontrak Saddil dilanjutkan lebih awal kerana kontrak asalnya akan berakhir pada November tahun ini.

Turut dilanjutkan kontrak adalah pemain tengah, Alto Linus dan pemain pertahanan Randy Baruh.

“Kontrak kesemua pemain tersebut tamat November ini,” katanya dalam kenyataan.

“Namun diperbaharui awal berdasarkan persetujuan bersama ketiga-tiga mereka dengan pengurusan Sabah… semua pemain itu menandatangani kontrak semalam.

“Ini sebagai imbuhan atas prestasi terbaik mereka sepanjang pusingan pertama Liga Super serta komitmen pihak pengurusan Sabah menuju ke era pengurusan lebih profesional dan komprehensif.”

Malah, ketiga-tiga pemain itu menerima peningkatan gaji susulan kontrak baharu dan pihak pengurusan Sabah turut merancang untuk menandatangani pelanjutan kontrak beberapa lagi pemain dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Saddil mengakui beliau perlu terus bekerja keras untuk membalas kepercayaan diberikan pasukan selepas ditawarkan kontrak baharu.

“Saya tidak boleh sia-siakan kepercayaan rakan-rakan, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan kerana semestinya mereka mengharapkan sesuatu yang positif apabila diberi lanjutan kontrak ini.”