Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui kecewa dengan kekalahan 2-0 kepada England dalam pusingan 16 terakhir Euro 2020 pagi tadi.
Gol Raheem Sterling dan Harry Kane di Wembley melayakkan England ke suku akhir sekali gus menamatkan era Loew selama 15 tahun sebagai jurulatih Jerman.
Thomas Mueller mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol hasil kesilapan Sterling, namun rembatannya tersasar dari gawang gol.
“Ini sangat mengecewakan. Pemain kecewa. Ia sangat sunyi di bilik persalinan,” kata Loew.
“Dalam permainan seperti ini, sangat penting untuk mengambil semua peluang gol, yang tidak kami lakukan, baik melalui Timo Werner mahupun Thomas Mueller.
“Saya tidak menyalahkan siapa pun, biasanya Mueller akan menjaringkannya. Agak luar biasa dia gagal menyudahkannya, tetapi perkara-perkara ini terjadi.
“Banyak pemain masih muda dan saya fikir banyak dari mereka akan berada di puncak permainan mereka pada tahun 2024.”
Hansi Flick akan menjadi jurulatih baharu Jerman selepas ini, setelah mencatatkan pencapaian gemilang di Bayern Munich.
Pemain tengah, Toni Kroos berkata, kekalahan itu cukup sukar untuk diterima.
“Kami tidak cukup berkesan dan jaringan 1-0 (ketika Sterling menjaringkan gol) mengubah segalanya, sampai saat itu kami telah bermain dengan baik.
“Tersingkir di peringkat ini mengecewakan, walaupun kami melalui kumpulan yang sukar.”
Kapten Jerman, Manuel Neuer berkata, England lebih “tamak” di depan gawang gol.
“Permainan seimbang, tetapi England lebih rakus dalam situasi di mana mereka menjaringkan gol berbanding kami.
“Kekecewaan itu sangat besar.
“Joachim Loew telah membentuk era yang hebat. Sangat menyedihkan apabila ia berakhir seperti ini untuknya.”