Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan kekalahan apabila tewas 1-0 kepada Nagoya Grampus pada perlawanan pembukaan Kumpulan G di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam tadi.
Pemain tengah Nagoya Grampus, Hiroyuki Abe menjadi satu-satunya penjaring perlawanan apabila menjaringkan gol pada minit ke-60, meskipun JDT sebenarnya kurang bernasib baik kerana Bergson berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan pada penghujung perlawanan namun ia tidak dikira, kerana beliau didapati mengasari pertahanan lawan.
Di sebalik kekecewaan itu, JDT beraksi dengan agak baik apabila berjaya menangkis segala serangan dari Grampus sepanjang separuh masa pertama.
Malah, Arif Aiman Mohd Hanapi turut menyerlah apabila hampir meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-42 apabila berjaya menembusi pertahanan lawan, namun percubaannya mudah diselamatkan penjaga gol Grampus, Mitchell Langerak.
Namun, Nagoya Grampus akhirnya berjaya meraih gol kemenangan apabila penyerang Ryoga Yamasaki berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum bola hantarannya disudahkan oleh Abe.
Selepas dibolosi pihak lawan, Benjamin Mora membawa masuk tiga pemain iaitu Safiq Rahim, Muhammad Ramadhan Saifullah dan Matthew Davies, namun JDT tetap gagal menjaringkan gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.
JDT kini berada di tangga ke-3 tanpa mata, diikuti kelab Thailand, Ratchaburi di tangga tercorot selepas tewas 2-0 kepada kelab Korea Selatan, Pohang Steelers.
Selepas ini, JDT akan bertemu Ratchaburi, Jumaat ini untuk perlawanan kedua Kumpulan G.