Ketua Pegawai Operasi Terengganu, Mohd Sabri Abas mengakui pihaknya amat berharap Piala AFC bagi musim 2021 dapat diteruskan.
Ini meskipun Singapura menarik diri sebagai hos bagi Kumpulan H dan I untuk kejohanan tersebut, memaksa AFC mencari hos baharu walaupun hanya berbaki beberapa hari sebelum tarikh sepak mula pada 30 Jun ini.
“Kami dapat maklumat AFC akan mengumumkan status kejohanan itu selewat-lewatnya pada minggu ini sama ada saingan itu diteruskan, ditangguh ataupun dibatalkan pada tahun ini,” kata Abas kepada Harian Metro.
“Namun kami meletakkan harapan tinggi agar kejohanan bagi Zon Asean ini dapat diteruskan mengikut perancangan memandangkan kami sudah membuat persiapan rapi bermula pada awal musim lagi.
“Lagipun Terengganu sudah lama tidak beraksi di pentas tertinggi. Sudah banyak mengeluarkan kos untuk membentuk pasukan termasuk membeli pemain terbaik terutama pemain muda, pemain import kerana fokus awal kita adalah untuk bersaing dalam Piala AFC.
“Besar harapan agar AFC tidak membatalkan kejohanan ini lebih-lebih lagi kami betul-betul serius untuk menghadapi saingan itu terutama selepas menjadi pasukan pertama dalam saingan Liga Malaysia menjalani latihan secara ‘camp based traning’ bermula 24 Mei lalu dengan semuanya menelan perbelanjaan yang besar.
“Tidak berbaloi buat Terengganu yang sudah mengeluarkan kos akhirnya kejohanan dibatalkan.”
Terengganu diundi dalam kumpulan I dan akan bersaing dengan kelab Singapura, Geylang International, Kaya FC dari Filipina dan pemenang play-off antara Visakha FC dari Kemboja atau Lalenok United FC dari Timor Leste.