Malaysia Berita

Selepas tewas lawan Vietnam, Tan Cheng Hoe kini fokus layak Piala Asia 2023

Tan Cheng Hoe kini mengalihkan tumpuan kepada misi kelayakan Piala Asia 2023.

Ini selepas skuad Harimau Malaya tewas kepada Vietnam 2-1 di Dubai, UAE malam tadi, sekali gus tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia 2022.

“Peluang kita untuk layak semakin tipis, jadi fokus kita adalah untuk kelayakan Piala Asia pada pusingan seterusnya.

Beliau mengakui, kekalahan itu berlaku hasil daripada situasi bola mati, iaitu gol pertama Vietnam dijaringkan menerusi sepakan penjuru manakala gol kedua adalah gol penalti.

“Kita ada peluang untuk menyerang, kedua-dua pasukan bermain dengan agak terbuka, masing-masing cuba untuk dapatkan keputusan positif.

“Malangnya kita bolos menerusi sepakan penjuru dan penalti sebab itu kita tidak menang.

“Tapi para pemain telah beraksi dengan baik, cuma mereka perlu tingkatkan lagi prestasi menentang Thailand nanti.

“Bola sepak adalah sukan berpasukan dan kita tak boleh salahkan satu atau dua pemain sahaja sebagai punca kekalahan.

“Bagaimanapun, kita perlu tingkatkan lagi prestasi dan saya percaya kita akan lebih kuat selepas ini sebagai satu pasukan.”

Ditanya sama ada sepakan penalti wajar diberikan, Cheng Hoe enggan mengulasnya lebih lanjut.

“Saya tak nampak insiden itu kerana ia berlaku dengan begitu pantas dan sudah tentu keputusan pengadil tidak boleh diubah.

“Harapnya kita akan dapat peluang lebih baik di masa akan datang.”

Beliau bagaimanapun mengakui Thailand bukan lawan yang mudah.

“Ia tidak akan menjadi perlawanan mudah, mereka mempunyai tempoh berehat yang mencukupi, kita perlu bersiap sedia dengan proses pemulihan untuk bersedia menentang Thailand.”