Selepas gagal dalam empat pertemuan terdahulu, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menganggap sekarang masa terbaik untuk skuad Harimau Malaya mengatasi Vietnam apabila kedua-dua pasukan bertembung tengah malam ini.
Pertembungan aksi pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu adalah kali kelima Cheng Hoe berdepan cabaran skuad Naga Emas sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pada Disember 2017.
Cheng Hoe berkata dengan peningkatan pemahaman dari aspek teknikal dan taktikal ditunjukkan barisan pemainnya, aksi di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu adalah peluang keemasan pasukan untuk meraih kemenangan sekali gus menamatkan badi keputusan buruk berdepan Vietnam.
Jelasnya, keyakinan itu turut dipengaruhi semangat ditonjolkan anak buahnya dalam usaha untuk bangkit menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2023 yang kini semakin sukar selepas skuad kebangsaan tewas 0-4 kepada UAE dalam aksi kumpulan minggu lepas.
“Saya rasa kali ini adalah peluang terbaik,” katanya kepada Bernama.
“Kita nampak setiap pemain ada peningkatan dari segi teknikal dan pemahaman taktikal. Kita perlu gunakan peluang itu untuk dapatkan keputusan positif kali ini.
“Kita harap mana-mana pemain yang diturunkan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke atas musuh yang selama ini kita susah nak mendapatkan keputusan positif apabila bertemu.”
Berdasarkan rekod, skuad kebangsaan di bawah bimbingan Cheng Hoe hanya berjaya mencatat satu keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir menentang Vietnam dengan pertemuan terbaru Malaysia tewas 0-1 dalam aksi kumpulan kempen kelayakan ketika berkunjung ke Hanoi pada Oktober 2019.
Skuad Vietnam kendalian Park Hang-seo juga menikmati saingan kempen kelayakan yang cemerlang selepas berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selain hanya dibolosi satu gol setakat ini.
Selepas enam perlawanan, Vietnam kini mendahului Kumpulan G dengan mengumpul 14 mata, diikuti UAE (12 mata), Thailand (sembilan mata), Malaysia (sembilan mata) dan Indonesia tercorot dengan satu mata.
Sementara itu, Cheng Hoe turut berharap penyerang naturalisasi Guilherme De Paula dapat menemui sentuhannya ketika berdepan Vietnam selepas pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu bergelut menampilkan aksi terbaik ketika diturunkan menentang UAE.
“Kalau kita lihat kualiti De Paula dalam mana mana liga dia bermain selama ini beliau tidak gagal menjadi antara penjaring terbanyak, kita harap dengan keyakinan dan pengalaman beliau dapat buat sesuatu dalam perlawanan nanti,” katanya.
Cheng Hoe berkata persefahaman pasukan khususnya di bahagian benteng pertahanan semakin baik menjelang pertembungan itu sementara pemain kacukan Junior Eldstal hampir pasti tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.
Justeru, beliau menaruh harapan tinggi kepada gandingan kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan pemain kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools di nadi pertahanan pasukan bagi memainkan peranan berdepan Vietnam.
“Kita nampak setiap hari ada peningkatan dalam sesi latihan, semua pemain memberikan kerjasama baik dengan Dion (Cools) dan kita harap beliau bersama Aidil yang mempunyai pengalaman luas boleh sama-sama mengemudi barisan pertahanan,” katanya.