Malaysia Berita

Uzzair Zayyan dapat biasiswa bola sepak, bakal berlatih bawah jurulatih Cruzeiro

Seorang pemain bola sepak berumur 12 tahun, Uzzair Zayyan Naimulddin mencuri perhatian pelbagai pihak apabila menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di British International School Phuket (BISP), Thailand, Ogos ini.

Beliau menerima biasiswa sukan bola sepak berjumlah RM120,000 setahun dan akan diserap di bawah program High Performance Team (HPT) yang dikendalikan oleh Cruzeiro Football Academy Brazil.

Persatuan Bola Sepak Perlis memaklumkan, Uzzair merupakan pelatih Akademi Tunas Kangar di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sejak 2016 hingga kini merupakan antara pemain bola sepak remaja Malaysia mendapat tempat di akademi tersebut.

Uzzair yang beraksi di posisi tengah dan merupakan peminat lagenda Barcelona, Xavi Hernandez akan menjalani latihan sepenuhnya di bawah pengendali dan modul dari Brazil bersama pemain negara lain dari seluruh dunia.

Beliau yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, Beseri ini pernah menyertai Kelab Bola Sepak KSMR Kangar Junior (Bawah 9 tahun) dan Kelab Bola Sepak Kangar 09 Dragons (Bawah 10-12) bawah bimbingan jurulatih Norhisham Jaafar serta telah menyertai banyak kejohanan bola sepak di seluruh negara.

Uzzair juga pernah terpilih untuk menyertai kem bola sepak peringkat antarabangsa di Belanda bersama Kelab Eropah Ajax Amsterdam di bawah program tajaan TH Global Football Camp tahun lalu namun program tersebut dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.