Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui Malaysia beraksi baik ketika menentang Bahrain meskipun tewas 2-0.
Beliau menyifatkan terdapat peningkatan prestasi jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Kuwait sebelum ini.
“Kita nampak satu permainan yang lebih baik berbanding ketika lawan Kuwait. Dari segi kelemahan pasukan, gol yang bolos hanya kesilapan individu.
“Di separuh masa pertama kita ada satu dua peluang tetapi tidak dapat jaringkan gol, ini sedikit sebanyak menjejaskan konfiden pasukan.
“Gol seperti penalti dan kesilapan individu menyebabkan perjalanan dalam perlawanan agak terganggu dengan kemasukan beberapa pemain sebelum menentang UAE nanti.
“Tapi kita kena bekerja keras dan bermain sebagai satu pasukan dan juga perlu fokus setiap masa setiap saat apabila transisi, nak serang pun kena jaga-jaga sebab pihak lawan membuat serangan dengan begitu pantas.”
Di sebalik kekalahan tersebut, Cheng Hoe percaya pasukannya masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan sebelum berdepan UAE pada 4 Jun nanti.
“Setiap pemain perlu sentiasa sedar dengan kelemahan mereka, apabila kita diserang, serangan balas tak dapat mengawal tempo tersebut.
“Tetapi untuk beberapa hari lagi kita boleh memperbaiki lagi dalam perlawanan yang akan datang nanti.”
Beliau juga mengakui ada perkara positif yang boleh diambil dalam perlawanan itu.
“Bahagian serangan banyak berkomunikasi dan apabila hilang bola kita bermain sebagai satu pasukan dan mampu membuat serangan dan dapat beberapa kombinasi, mencipta beberapa peluang, itu satu kekuatan dalam perbandingan antara perlawanan lawan Kuwait dan Bahrain.
“Para pemain pun tahu dan sedar kelemahan setiap individu dan kita akan perbaiki dari segi semasa ke semasa.”
Bagaimanapun, Cheng Hoe berharap para pemainnya dapat mengawal emosi ketika perlawanan menentang UAE nanti.
“Kita harap pemain dapat mengawal emosi mereka. Kita tahu bukan mudah bermain di tempat lawan disebabkan gol-gol tersebut menyebabkan kita emosi.
“Tapi itulah sebahagian dalam bolasepak, kena kawal emosi supaya tidak hilang fokus apabila keputusan pengadil tidak puas hati, kita tetap kena kawal emosi kita.”