Luar Negara Berita

N’golo Kante pekena nasi lemak ayam masak merah sebelum final Liga Juara Juara Eropah

N’golo Kante merupakan antara pemain bola sepak terbaik dunia, sudah memenangi Premier League, Europa League dan Piala Dunia.

Pertama kali dalam hidupnya, beliau akan beraksi dengan Chelsea dalam perlawanan akhir UEFA Champions League menentang Manchester City, Ahad ini.

Dengan perlawanan yang cukup berprestij, sudah tentu beliau akan memberikan fokus sepenuhnya dan menjaga pemakanan.

Namun, Kante sebaliknya berkunjung ke sebuah restoran Malaysia di London bernama Tukdin Flavours of Malaysia.

Kedai itu menerusi akaun Instagramnya memberitahu bahawa Kante membeli nasi lemak kosong beserta ayam masak merah.

Pemain berusia 30 tahun itu pulang membawa juadah dari Malaysia sebelum berlepas ke venue perlawanan iaitu Estadio do Dragao di Portugal.

Kedai itu juga memberitahu, Kante merupakan pelanggan tetapnya dan beliau sering berkunjung setiap kali selepas beraksi dalam perlawanan.

Nampaknya, Kante merupakan peminat nasi lemak dan ia sesuatu yang diketahui oleh peminat Chelsea di Malaysia.

Siapa kata makan nasi lemak tidak boleh jadi pemain terhebat dunia?