Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT raih kemenangan hasil penalti saat akhir, hatrik Paulo Josue tumbangkan Pulau Pinang

Johor Darul Ta’zim membuktikan keupayaannya sebagai pendahulu Liga Super apabila menang tipis 1-0 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman.

Kedah kurang bernasib baik kali ini, meskipun memiliki pelbagai jenis peluang untuk menjaringkan gol, ia gagal disudahkan dengan baik.

Sebaliknya, JDT yang juga berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol, dihadiahkan sepakan penalti setelah Renan Alves menjatuhkan Mohamadou Sumareh dalam kotak penalti di minit-minit akhir perlawanan.

Ia disempurnakan oleh Bergson, menjadikannya gol ke-10 buat dirinya musim ini.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan, dengan JDT kekal di tangga teratas liga dengan 27 mata manakala Kedah kekal dengan 23 mata.

Kekalahan Kedah memberi peluang kepada Terengganu untuk merampas kedudukan di tangga kedua Liga Super setelah meraih kemenangan selesa ke atas pasukan tercorot liga, UiTM FC 3-0 di Kuala Terengganu.

Terengganu sudah pun mendahului 2-0 dalam tempoh 10 minit pertama apabila David da Silva menjaringkan gol pada minit ke-8 disusuli Faisal Halim pada minit ke-10.

Rahmat Makasuf melengkapkan kemenangan Terengganu dengan jaringan pada minit ke-77.

Terengganu kini memiliki 24 mata, manakala UiTM kekal di kedudukan tercorot dengan hanya 1 mata setakat ini.

Pulau Pinang yang mengalahkan Terengganu minggu lalu pula dikejutkan dengan kekalahan 3-1 kepada KL City.

Paulo Josue menjadi wira KL apabila meledak hatrik, langsung tidak memberikan peluang untuk Pulau Pinang bangkit.

Paulo menjaringkan gol hasil sepakan percuma tercantik di Liga Super setakat ini apabila menendang masuk bola jauh dari luar kotak penalti pada minit ke-35.

Beliau menggandakan jaringan pada minit ke-52 hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Pulau Pinang, Rafael Victor.

Pulau Pinang bagaimanapun berjaya merapatkan jurang gol hasil serangan pantas yang disudahkan dengan baik oleh Danial Ashraf pada minit ke-63.

Dengan perlawanan berbaki dua minit sahaja lagi, Pulau Pinang yang sibuk memberi tekanan kepada KL untuk menyamakan kedudukan, dihukum oleh kepantasan serangan KL apabila Paulo menjaringkan gol ketiganya menerusi sepakan deras yang menembusi bahagian atas gawang gol.

Pulau Pinang kini di tangga ke-4 dengan 22 mata, manakala KL di tangga ke-6 dengan 16 mata.