Norizam Tukiman telah melengkapkan pengambilalihan pasukan Liga Indonesia, PSPS Riau pada 3 Mei.
Ini selepas beliau mengambil alih pasukan Kelantan tahun lalu.
Malah, PSPS Riau yang sebelum ini menggunakan gelaran Lucky Warriors dan Sumatran Tapir kini menggunakan gelaran The Riau Warriors, sama seperti Kelantan yang menggunakan The Red Warriors.
Pengambilalihan itu dilengkapkan menerusi satu majlis menandatangani memorandum antara Norizam dan pengurus pasukan PSPS Riau, Ari Nugroho Arsadianto.
Majlis itu turut disaksikan oleh Ketua Jabatan Kepemudaan dan Olahraga Provinsi Riau, Boby Rachmat dan Konsulat Malaysia Pekanbaru, Wan Nurshima Wan Jusoh.
Norizam berkata, beliau membuat keputusan untuk mengambil alih sebuah pasukan bola sepak di Indonesia kerana jumlah penyokong PSPS Riau yang begitu ramai, memandangkan Stadium Kaharudin Nasution mempunyai kapasiti 30,000.
“Saya adalah peminat bola sepak dan pelabur, saya melihat masa depan dan bukan mahukan keuntungan sekarang.
“Saya sayang peminat PSPS Riau sebagaimana saya sayang peminat Kelantan yg mahukan pasukan bola sepak mereka naik. Ibarat maruah juga lah.”
Katanya lagi, pengambilalihan itu turut memberi manfaat buat Kelantan di masa akan datang.
“Sekarang Kelantan boleh terus bekerjasama dengan PSPS Riau kerana pemiliknya sama.
“Terima kasih semua yang membantu dan mendoakan supaya perjalanan saya dalam industri bola sepak berjaya.”