Liga Super Malaysia Berita

Perak bayar gaji bulan Februari, masih berusaha cari penaja

Ahli Lembaga Pengarah pasukan Perak, Khairul Shahril Mohamed mengesahkan pihaknya sudah membayar gaji pemain dan bagi bulan Februari bernilai RM900,000.

Katanya, pihak pengurusan masih berusaha mencari sumber kewangan baharu dengan harapan dapat menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain, termasuk menjual saham pasukan.

“Kita masih lagi mengenal pasti pihak yang berminat, kerana kita mahu pihak yang betul-betul boleh uruskan,” katanya kepada Bernama.

“Ada yang datang bawa kertas cadangan tetapi kita mahu yang telus, bukannya minta tanah dan sebagainya. Itu kertas cadangan yang dilihat tidak begitu adil kepada kami.

“Saya akan cari jalan sebaiknya. Saya tawarkan kepada mana-mana pihak untuk membantu menyelesaikannya, termasuk menjadi penaja dan membeli saham.”

Tambah Khairul, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekurangan jumlah penaja selain tawaran penajaan berkepentingan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Saya tawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat membantu kita khususnya untuk menjadi penaja utama, bahkan kita tiada masalah jika mereka, termasuk jika ada putera dari negara Arab sekalipun yang turut ingin membeli saham.

“Ada juga cadangan daripada peminat agar buka saham kepada mereka, namun pada kita ia bukan semudah yang disangka memandangkan banyak perkara perlu diperhalusi termasuk implikasi di masa mendatang.

“Sebelum ini banyak pihak datang kepada kita menawarkan tajaan, namun ia bukanlah penajaan tulen apabila meletakkan syarat inginkan pulangan dari pihak kerajaan negeri sebagai batu loncatan perniagaan mereka umpamanya. Pada saya itu tidak memenuhi objektif menyelesaikan masalah.”

Khairul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak mengakui sudah tidak terlibat dengan pengurusan Perak, namun tetap berusaha membantu ketika dalam kesusahan.

“Saya sebenarnya sudah tidak mahu terbabit secara langsung dengan bola sepak, sebaliknya hanya terbabit di belakang tabir. Pada saya bila Rizal Ali sudah dilantik sebagai CEO syarikat Perak, banyak perkara dan tanggungjawab saya serahkan kepadanya.

“Namun sebagai exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio sukan, saya turut akan cuba pastikan sesuatu tunggakan gaji sebolehnya tidak akan melebihi tempoh dua bulan.”

Khairul bagaimanapun menyerahkan keputusan kepada pemain sama ada mereka mahu mengaktifkan klausa 9.7, selepas dua bulan berdepan tunggakan gaji.

Namun, beliau menjelaskan pengurusan baharu pasukan banyak membantu setelah hutang RM3.8 juta gagal diselesaikan pengurusan terdahulu.

“Sewaktu mula mengambil alih, di tangan kita sudah ada tunggakan dua bulan berjumlah RM3.8 juta.

“Saya sebagai exco kerajaan negeri terpaksa campur tangan termasuk hutang RM3.8 juta yang kerajaan negeri bantu Perak selesaikan sebelum ini, itu peminat perlu ingat.”