Saingan Liga Super minggu ke-6 menyaksikan Pulau Pinang dan Selangor meraih tiga mata penuh.
Malah, kemenangan minggu ini meletakkan Pulau Pinang di tangga ke-4 liga selepas menewaskan Perak 2-1 di laman sendiri, berkongsi 11 mata dengan Terengganu.
Perak mendahului seawal minit ke-11 menerusi jaringan Careca, namun Pulau Pinang bangkit dari ketinggalan apabila Casagrande menyamakan kedudukan pada minit ke-43 sebelum Rafael Vitor menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71.
Perak kini menduduki tangga ke-9 dengan mengumpul 5 mata.
Selangor pula meraih kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC, menjadikan kedudukan Red Giants di tangga ke-7 liga dengan berkongsi 8 mata dengan Kuala Lumpur City.
Oliver Buff menjaringkan gol pada minit ke-13 sebelum Ifedayo Olusegun menggandakan jaringan pada minit ke-40.
Ini merupakan kekalahan ke-5 daripada 6 perlawanan buat UiTM, sekali gus berada di tangga tercorot liga dan hanya mengumpul 1 mata.
Satu lagi perlawanan tamat dengan hampa apabila KL City dan Sabah sekadar terikat 0-0 tanpa jaringan.