Liga Perdana Berita

Selepas 10 tahun, Sergio Aguero tinggalkan Man City musim ini

Selepas menjadi salah seorang watak penting yang menaikkan nama Manchester City di persada England dan Eropah, Sergio Aguero kini bergelut dengan kecederaan di tengah pandemik Covid-19 sejak setahun lalu dan hanya terhad kepada 14 penampilan di semua pertandingan musim ini untuk pasukan Sky Blues.

Pemain berusia 32 tahun itu telah menjadi legenda dalam menjaringkan gol sepanjang tempohnya dengan Manchester City, dengan gol yang paling terkenal adalah ketika menentang Queens Parks Rangers pada hari terakhir musim 2011-12 yang merangkul gelaran liga pertama Sky Blues dalam tempoh 44 tahun.

Penalti yang dijaringkannya ketika menentang Fulham pada 14 Mac lalu, melengkapkan gol ke-181 dalam saingan Premier League tetapi ia juga gol pertama Aguero sejak Januari 2020.

Malah, pemain Argentina itu hanya berada di kedudukan kedua di belakang Alan Shearer (260), Wayne Rooney (208) dan Andy Cole (187) dalam senarai penjaring sepanjang masa di Premier League.

Dalam catatan Twitternya kepada 14 juta pengikutnya, Aguero menyatakan dia “rasa puas dan bangga” apabila dapat beraksi untuk City selama satu dekad dan menjadikan kelab itu antara yang terbaik di dunia.

Aguero telah memenangi empat gelaran Premier League dengan kemungkinan dapat meraih kejuaraan kelima di musim terakhirnya kerana City kini berada pada 14 mata dengan 10 perlawanan lagi. Selain itu, dia juga memenangi satu Piala FA dan lima Piala Liga, tidak lupa juga bahawa City berada di suku akhir UEFA Champions League musim ini.

Dalam jangka masa satu dekad sejak tiba dari Atletico Madrid, kehebatan dan kemahiran Aguero mengumpulkan 257 gol dalam 384 penampilan, menjadikannya pemain dengan jaringan gol tertinggi dari luar negara dalam sejarah Premier League.

“Sumbangan Sergio kepada Manchester City selama 10 tahun terakhir tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” kata ketua kelab, Khaldoon Al Mubarak.

“Legendanya akan terpahat dalam ingatan semua orang yang mencintai kelab dan mungkin juga pada mereka yang suka bola sepak.”

Al Mubarak juga dengan bangga mengumumkan bahawa tugu Aguero sedang disiapkan untuk berdiri di samping tugu yang dibuat untuk menghormati bekas rakan sepasukan, David Silva dan Vincent Kompany.

Aguero, yang berasal dari Atletico Madrid pada tahun 2011 ketika dia sertai Sky Blues, menjaringkan sekurang-kurangnya 28 gol dalam semua pertandingan dalam enam musim berturut-turut untuk City dan memiliki 12 hatrik di Premier League.

Aguero mengatakan bahawa dia menjalin “ikatan yang tidak dapat dihancurkan dengan semua pihak yang menyukai kelab ini – mereka akan sentiasa ada dalam hati saya”.

“Saya akan terus berusaha semaksimal mungkin untuk memenangi lebih banyak gelaran dan membawa lebih banyak kegembiraan kepada peminat,” kata Aguero dalam catatan Twitternya.

“Kemudian, tempat baharu dengan cabaran baru akan bermula.”

Aguero sebelum ini telah mengatakan ada kemungkinan untuk kembali ke Argentina bagi menamatkan kariernya dengan bekas kelabnya, Independiente.

Tetapi ini mungkin tidak akan terjadi kerana kita semua tahu bahawa Barcelona mempunyai beberapa rancangan mereka yang dibuat secara senyap-senyap untuk memikat penyerang legenda ini ke Camp Nou untuk bekerjasama dengan teman lamanya, Lionel Messi.