Liga Super Malaysia Berita

Chong Yee Fatt: Kecewa tapi tetap bangga dengan Perak

Ketua jurulatih Perak, Chong Yee Fatt tetap menarik nafas lega disebalik keputusan seri 2-2 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2021 semalam selepas berdepan dua kekalahan berturut-turut pada minggu lalu.

Kemenangan sememangnya dicari oleh pasukan ini bagi memulihkan kembali semangat pemain selepas dihimpit prestasi kurang konsisten di awal musim, namun satu mata yang diraih semalam dilihat sudah cukup bermakna selain berjaya untuk memberi tentangan sengit kepada JDT.

Jelas Yee Fatt, beliau memahami tekanan yang dihadapi pemain dalam misi memburu kemenangan, tetapi komitmen yang cukup tinggi dipamerkan di Stadium Perak membuktikan betapa pasukan enggan lagi tersungkur buat kali ketiga apatah lagi ketika berdepan skuad yang kini masih gah di takhta liga.

Dua gol yang dijaringkan oleh Guilherme de Paula nyata memberi kepuasan kepada penyerang itu untuk menamatkan kemarau gol dalam empat perlawanan sebelum ini.

“Sememangnya kecewa apabila kita tidak dapat tiga mata penuh, tetapi kalau nak ikutkan satu mata pun sudah buat kita gembira, khususnya apabila melihat cara pemain beraksi, mereka memang pamerkan semangat ingin menang yang tinggi.

“Saya tetap berbangga dengan mereka kerana beberapa perlawanan sebelum ini aksi mereka tidak konsisten dan sebelum aksi semalam, kami ada bercakap dari hati ke hati bagaimana kita tidak boleh lagi tercicir mata dan satu mata ini diharapkan cukup untuk memberi motivasi lagi kepada mereka bagi perlawanan akan datang.

“De Paula juga akhirnya memberi sesuatu kepada pasukan di mana saya ada beritahu dia untuk tidak terus kecewa dengan aksi-aksi terdahulu, dia perlu menikmati setiap perlawanan akan datang dan itu yang dia lakukan untuk kami semalam,” katanya

Dalam satu lagi aksi tumpuan adalah membabitkan perlawanan antara Sabah FC dan Terengganu FC yang menyaksikan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto akhirnya meraih kemenangan pertama mereka dengan keputusan 2-1.

Di sebalik tekanan apabila pihak pengurusan Sabah memberi amaran keras kepada beliau susulan prestasi hambar yang telah ditampilkan dalam empat perlawanan terdahulu, Kurniawan bersyukur barisan pemain akhirnya membuktikan sesuatu di Stadium Likas dan lebih memuaskan apabila dapat meleburkan rekod bersih tanpa kalah TFC.

“Yang pertama, saya bersyukur sangat atas kemenangan ini kerana tiga mata pertama ini penting bagi mengangkat kembali moral barisan pemain dan yang kedua saya ingin ucapkan terima kasih kepada pemain yang menampilkan aksi cukup luar biasa meskipun kami di bawah tekanan selepas aksi yang hambar sebelum ini.

“Saya memang sentiasa cuba untuk bangkitkan motivasi mereka apatah lagi kita sedar cabaran cukup berat untuk menghadapi pasukan yang mempunyai rekod bersih setakat ini seperti TFC, dan alhamdulillah mereka membuktikan sesuatu yang positif untuk menghadapi lawan.

“Apa yang penting, kami akan terus perbaiki kekurangan yang ada dalam tempoh liga berehat ini, saya tidak mahu bebankan fikiran dengan memikirkan kedudukan saya kerana saya percaya pihak pengurusan akan buat keputusan terbaik dan tugas saya sekarang adalah meneruskan tugas dengan lebih baik membimbing pasukan,” katanya.