Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berterima kasih kepada Johor Darul Ta’zim kerana sudi berkongsi kemudahan pusat latihan dengan skuad kebangsaan.
Ini bagi membolehkan skuad Harimau Malaya berkumpul untuk kem latihan pusat selama 9 hari di Johor Bahru, Johor yang bermula hari ini hingga 30 Mac 2021.
“Sudah tentu saya berasa cukup lega dan gembira kerana kita akhirnya dapat berkumpul untuk kem latihan pusat ini sebagai persiapan penting dalam menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE, Jun nanti.
“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.
“Saya secara peribadi melihat ini sebagai satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia. Setelah membantu meningkatkan profil bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya, kesudian pihak JDT ini akan membolehkan skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemudahan bertaraf dunia.
“Diharap juga ia menjadi contoh kepada kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan yang lengkap seperti ini kerana pada akhirnya nanti, sudah pasti ia akan membantu dalam meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan lagi tahap bola sepak negara secara keseluruhan.
“Akhir kata, saya berharap agar kem latihan pusat ini berjalan lancar seperti yang dirancang dengan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dapat meningkatkan lagi persefahaman dan kombinasi para pemain serta meningkatkan tahap dan corak permainan pasukan untuk kita beroleh kejayaan apabila menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti.”