Penjaga gol Selangor, Khairuazhan Mohd.Khalid menyifatkan sukar melupakan detik aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu yang disifatkan mampu menyuntik semula moral pasukan bagi hadapi kempen Liga Super, musim ini.
Malah, beliau akui pada satu ketika dia memikirkan pasukannya sudah berdepan detik kekalahan sebaik tuan rumah mendapat sepakan penalti kedua pada minit ke-79.
Bagaimanapun, dia tetap berfikir secara positif yang mereka mampu meraih sesuatu daripada perlawanan tersebut dan menganggap kejayaan menafikan sepakan yang diambil Bergson da Silva hanya sebagai tuah yang menyebelahi dirinya.
“Penalti yang diraih oleh JDT itu lagi sepuluh minit nak habis dan dalam kepala saya, fikir kami boleh kalah tetapi saya tetap menanam keyakinan yang apa-apa boleh berlaku dalam situasi sepakan penalti.
“Ternyata mungkin rezeki atau tuah saya apabila berjaya menyelamatkan sepakan itu dan diharapkan apa yang kita capai ini di Johor, akan memberikan satu impak positif serta keyakinan terhadap pasukan kami untuk beri saingan pada Liga Super.
“Bukan saya sahaja tetapi semua pemain dalam kesebelasan utama bermain bermati-matian dan bagi yang terbaik kerana semua orang tahu JDT adalah pasukan yang terbaik.
“Satu mata yang dibawa dari sana sudah cukup baik dan pemain sudah memberikan segalanya, sekarang fokus kami untuk berhadapan dengan Pulau Pinang pada perlawanan hujung minggu ini,” katanya.
Aksi Khairulazhan mendapat perhatian peminat apabila beraksi cemerlang di gawang Selangor serta menjadi kunci utama di sebalik keputusan seri 1-1 dengan JDT.
Selain menyelamatkan satu sepakan penalti yang diambil Bergson, Khairul Azhan juga menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya dimiliki tuan rumah seperti sepakan percuma yang diambil Leandro Velazquez pada penghujung waktu permainan.
Penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi, membuka tirai jaringan pada minit ketujuh namun JDT bangkit menyamakan kedudukan lima minit kemudian melalui rembatan kencang Bergson.
Kedudukan itu meletakkan Selangor di tangga kelima dengan pungutan lima mata sementara JDT terus kekal di tangga teratas selepas meraih 10 mata.