Berita

Ini sebab Tan Cheng Hoe kekalkan majoriti muka lama

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe percaya beliau perlu membuat keputusan untuk memanggil sebahagian besar pemain sedia ada berbanding muka baharu yang akan menyertai kem latihan pusat hujung bulan ini sebagai persiapan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Ini selepas lebih 70 peratus barisan pemain negara sebelum ini dipanggil semula oleh Cheng Hoe, namun ada yang mengkritik pemilihannya kerana tidak bersandarkan prestasi semasa pemain.

Namun begitu, Cheng Hoe menganggap faktor kesuntukan masa serta ketiadaan perlawanan persahabatan menyukarkan beliau untuk membuka peluang kepada pemain baharu.

“Barisan kejurulatihan sentiasa memantau perkembangan setiap pemain dalam saingan Liga Super dan Liga Premier,” katanya kepada Bernama.

“Tetapi dalam masa terdekat memang kita tidak boleh beri peluang kepada ramai muka baharu.

“Saya perlukan pemain tonggak utama untuk menjalani latihan sebab banyak lagi yang perlu ditingkatkan pasukan tetapi pintu skuad negara sentiasa terbuka untuk mana-mana pemain yang menunjukkan prestasi baik.”

Cheng Hoe menyenaraikan 17 daripada 23 pemain skuad negara dalam dua aksi terakhir kelayakan pada November 2019 dan memanggil 11 pemain termasuk tonggak naturalisasi terbaharu negara Guilherme de Paula untuk melengkapkan senarai 28 pemain.

Walaupun ada beberapa pemain kebangsaan yang tidak berada pada prestasi terbaik, Cheng Hoe lebih percaya kepada momentum pemain yang sudah beraksi dalam pusingan kelayakan sejak 2019.

“Saya rasa setiap kali ada panggilan kem latihan pusat mesti ramai tidak puas hati dengan senarai pemain tetapi yang penting bagi saya mereka masih relevan untuk skuad kebangsaan kerana rata-rata pemain sudah bersama dengan saya dan juga menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Jadi saya harap mereka masih boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan, dan kalau kata dari segi tiada minit permainan, kita kena lihat dari segi bakat, dari segi kemampuan pemain itu saya rasa boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan.”