Sabah baru sahaja mengumumkan kemasukan tiga pemain ternama bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2021.
Penyertaan yang menarik perhatian peminat sudah tentu adalah penyerang veteran, Amri Yahyah yang sudah menjangkaui usia 40 tahun. Tahun ini akan menjadi tahun ke-20 beliau beraksi dalam Liga Malaysia.
Sabah juga berjaya membawa masuk pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani selepas hanya semusim beraksi dengan kelab Indonesia, FC Bhayangkara.
Pemain sayap berusia 22 tahun itu dilaporkan membuat keputusan tersebut selepas saingan Liga Indonesia masih belum bermula sejak musim 2020 dibatalkan.
Malah, jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto sememangnya ingin membawa masuk Saddil sejak musim lepas, selepas beraksi dengan cemerlang ketika bersama Pahang pada musim 2019.
Seorang lagi pemain yang menarik perhatian peminat adalah bekas penyerang B-23, N. Thanabalan. Beliau yang menyertai Kedah pada musim 2019 dipinjamkan ke Perak II musim lalu, sebelum kontraknya dengan Kedah tidak dilanjutkan.
Selain itu, Kurniawan dilaporkan merombak hampir keseluruhan barisan pemain importnya dengan membawa masuk muka baharu pada musim ini.
Saddil menggantikan pemain import Thailand, Dennis Buschening selaku pemain import ASEAN.
Hanya pemain pertahanan, Park Tae-soo dikekalkan, manakala penyerang Serbia, Rodoljub Paunovic dan Guy Gnabouyou dilepaskan, sementara Petrus Shitembi berhijrah ke Terengganu.
Walaupun pengumuman masih belum dibuat secara rasmi, tempat mereka bakal diisi oleh penyerang dari Liberia, Sam Johnson, pemain tengah dari Gabon, Levy Madinda dan pemain pertahanan dari Macedonia Utara, Risto Mitrevski.