Liga Super Malaysia Berita

Khalid Ali: Sumareh sememangnya mahu pergi JDT, tapi kenapa Selangor yang dipersalahkan?

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mengakui terkilan apabila Mohamadou Sumareh membuat keputusan untuk menyertai JDT.

Beliau percaya, ia seolah-olah menunjukkan bahawa Sumareh sengaja menyalahkan Selangor pada musim lepas apabila pemain naturalisasi itu mendedahkan tawaran kontrak yang diberikan oleh Selangor, untuk dijadikan sebahagian daripada alasan beliau mahu menamatkan kontrak bersama Pahang.

Khalid berkata, tangkap layar perbincangan antara beliau dan pegawai FAS tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak mencerminkan sikap profesional dan memberikan tanggapan buruk kepada Selangor.

“Selangor diburukkan sehingga ramai marah termasuk Pahang, jadi sekarang kita tahulah keadaan sebenar perancangan dia ingin ke JDT,” katanya.

“Tak dinafikan dengan fasiliti dan masa depan yang baik, ramai pemain di Malaysia ingin bermain di sana.

“Tetapi ketika ini sebagai bekas pemain Selangor saya kecil hati dan dukacita sebab sebenarnya bukan Selangor menjadi punca tetapi Selangor yang dikecam. Sumareh kena tampil ke hadapan dan ceritakan keadaan sebenar di sebalik perkara itu.”

Selepas Sumareh menamatkan kontrak dengan Pahang, muncul spekulasi bahawa beliau akan menyertai kelab Thailand, Police Tero buat sementara waktu sebelum menyertai JDT bagi musim 2021, memandangkan tidak ada jendela perpindahan kedua pada musim 2020.

Namun, spekulasi itu kemudian ditenggelamkan oleh salinan tawaran kontrak FAS kepada Sumareh serta tangkap layar perbualan mengenai perpindahan antara beliau dan pegawai FAS tular di media sosial sekali gus melenyapkan khabar anginnnya dengan perpindahan ke JDT.

“Jelas tindakan serta permainan politik dia itu memang hanya beri kesan negatif kepada Selangor dan mencemar nama baik Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden FAS.

“Jadi beliau kena minta maaf atas perbuatan dia itu yang sehingga kini kita rasa tindakan itu tidak patut dihormati.”