Liga Super Malaysia Berita

Selangor lancar jersi home 2021, inspirasi dari legasi Mokhtar Dahari

Selangor melancarkan jersi ‘home’ bagi musim 2021 yang ternyata rekaannya lain daripada yang lain berbanding musim-musim sebelum ini.

Ia diinspirasikan daripada legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari yang menyarung jersi The Red Giants hanya untuk sekali ketika menjulang kejuaraan Piala Malaysia ke-27 pada tahun 1986.

Jersi ‘home’ 2021 masih mengekalkan beberapa elemen penting pada tahun 1986 antaranya warna merah, kuning dan hijau diambil daripada bendera Raja Muda Selangor sebagai penghormatan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu merupakan Raja Muda Selangor.

Selain itu, kedudukan lambang Selangor FC juga diletakkan di bahagian kanan dada sama seperti jersi asal.

Lambang istimewa ‘SuperMokh’ turut diabadikan di belakang jersi ‘home’ musim ini sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham.

Walaupun tema dan konsep jersi baharu Selangor itu mengutamakan unsur retro, terdapat juga beberapa elemen moden supaya ia bersesuaian dengan rekaan kontemporari.

Perbezaan terbesar antara jersi musim ini dengan yang asal ialah hiasan motif kelopak bunga di bahagian warna kuning jersi, melambangkan bunga rasmi negeri Selangor iaitu bunga tanjung.

Selain itu, jersi Selangor 2021 juga mempunyai bendera quarterfly merah kuning pada dada dan riben bertulisan ‘85 Years Creating A Legacy’ yang disematkan pada bahagian belakang kolar, sempena ulang tahun ke-85 penubuhan pasukan bola sepak Selangor.

“Pihak pengurusan Selangor FC juga telah memutuskan untuk membuat kelainan tahun ini dengan memilih warna kuning sebagai warna utama jersi ‘home’ setelah sekian lama tidak digunakan.

“Selangor FC berharap jersi ‘home’ musim 2021 yang bertemakan legasi Allahyarham Mokhtar Dahari dan pasukan Selangor 1986 itu dapat membawa aura kejuaraan serta meniup semangat perjuangan kepada semua pihak berkepentingan pasukan dalam misi memburu kejayaan tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.

Jersi baharu Selangor kini boleh dibeli melalui SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain manakala edisi penyokong hanya akan dikeluarkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Penyokong Selangor yang berdaftar sebagai pemegang Red Giants Team Card 2021 pula akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus untuk setiap pembelian jersi pada tahun ini.