FIFA membuat keputusan untuk membatalkan Piala Dunia B-20 dan B-17 edisi 2021 berikutan bimbang dengan situasi wabak COVID-19 yang masih tidak menentu.
Piala Dunia B-20 sepatutnya berlangsung di Indonesia pada tahun depan manakala Piala Dunia B-17 beraksi di Peru.
Sebagai ganti, FIFA membuat keputusan untuk melantik Indonesia dan Peru untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2023.
“Pandemik Covid-19 terus menjadi penghalang untuk penganjuran acara sukan antarabangsa dan memberi kesan yang membataskan perjalanan antarabangsa,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah, serta pihak berwajib di Indonesia dan Peru, atas komitmen dan persiapan kejohanan yang telah dilakukan selama ini.”
Keputusan FIFA itu menyebabkan Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada bulan Mac tahun depan hilang makna kerana ia sepatutnya menjadi medan kelayakan untuk Piala Dunia B-20 dan turut berdepan risiko untuk dibatalkan.
Pembatalan Piala Dunia B-20 dan Piala Dunia B-17 juga bermakna kejohanan itu kehilangan satu generasi yang sepatutnya layak beraksi di peringkat antarabangsa.
Pemain negara berusia 20 dan ke bawah seperti Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Ramadhan Saifullah Usman, Umar Hakeem Suhar, Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili dan Sikh Izhan Nazrel akan terlepas peluang menunjukkan keupayaan masing-masing di peringkat lebih tinggi.
Malah, Wan Kuzri Wan Kamal juga tidak akan dapat beraksi untuk skuad B-20 kerana sudah lebih umur menjelang edisi 2023.
Malaysia hanya boleh berharap generasi baharu dapat mencipta sejarah layak beraksi di Piala Dunia B-20 dan B-17.