Liga Super Malaysia Berita

MFL: Penyokong pihak lawan tidak dibenarkan masuk ke stadium

Penyokong pihak lawan dilaporkan tidak akan dibenarkan masuk ke stadium bagi menonton perlawanan Liga Malaysia yang dijadualkan bermula Februari 2021 ini.

Ia berikutan keputusan kerajaan yang hanya membenarkan 10 peratus atau 4,000 penonton dalam stadium di kawasan yang dianggap bebas dari wabak Covid-19.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan minggu depan.

Malah, peminat hanya boleh membeli tiket perlawanan dalam talian.

“Di bawah cadangan kami, pasukan tuan rumah harus menetapkan SOP yang ketat, termasuk pemeriksaan suhu, pada setiap orang yang memasuki stadium,” katanya kepada NST.

“Sebagai contoh, jika stadium dapat memuatkan 4000 penyokong, mereka akan dipisahkan menjadi lapan kumpulan yang terdiri daripada 500 penonton. Mereka kemudian akan memasuki stadium tersebut melalui zon-zon tertentu.

“Kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas dan kanak-kanak di bawah 12 tahun, tidak akan dibenarkan menghadiri perlawanan di stadium. Peminat mesti patuh kepada penjarakan fizikal. Tempat duduk di stadium juga akan ada penanda.

“Setiap orang harus memakai topeng muka, dan tandas stadium akan ditutup pada separuh masa untuk mengelakkan kesesakan. Namun, para peminat boleh menggunakan tandas semasa perlawanan.”

Ghani menegaskan pihak MFL boleh mengenakan tindakan kepada mana-mana pasukan jika peminatnya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Peminat mesti mematuhi semua peraturan. MFL akan mengeluarkan surat amaran kepada pasukan sekiranya peminat mereka tidak mengikuti SOP.

“Pesalah berulang mungkin akan menyebabkan pasukannya bermain dalam perlawanan tertutup.”