Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan berjaya langsai tunggakan gaji Cassio bernilai RM600,000

Kelantan sudah membayar sepenuhnya tunggakan gaji bekas pemain import, Cassio Francisco de Jesus.

Ini bermakna, Kelantan berjaya mengelakkan diri daripada digantung oleh FIFA selepas berbulan-bulan berdepan dengan krisis kewangan.

Penasihat Undang-Undang Kelantan, Shairuz Sheffie berkata kelab itu telah berjaya menyelesaikan banyak hutang tertunggak dalam tempoh tiga bulan ini.

“TRW Kelantan FC telah berjaya menyelesaikan banyak hutang tertunggak dalam 3 bulan terakhir ini dan kami kini sedang menyelesaikan hutang-hutang pemain yang telah membuat laporan kepada FIFA.

“Salah satunya adalah Cassio Fransisco yang jumlah hutang tertunggak keseluruhan adalah USD155,794.51 (RM679,263.20).

“TRW ingin mengumumkan bahawa kami telah memperoleh tawaran dari Cassio dan beliau telah bersetuju untuk menerima pembayaran penuh dan terakhir sebanyak USD149,500.00.”

Mengikut kenyataan rasmi Kelantan dan surat yang ditujukan kepada Messrs Fahmi Zhafri Ashraf & Co yang dilampirkan bersama menunjukkan bahawa tunggakan itu dibayar dengan empat kali bayaran.

Pembayaran pertama dibuat pada 9 Sept sebanyak RM105,000 diikuti pembayaran kedua pada 13 Sept (RM189,000), 15 Dis (RM30,487.59) serta 17 Dis (RM288,145.00).

Sebelum ini, FIFA mengarahkan Kelantan untuk melunaskan bayaran gaji Cassio pada 23 April lalu.

Ini selepas FIFA mendapat laporan daripada Cassio bahawa beliau masih belum mendapat bayaran gaji sebanyak AS$145,944.60 atau RM629,620.28.

Jika Kelantan gagal melunaskan tunggakan gaji tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, kes tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA dan bakal berdepan penggantungan sama seperti apa yang berlaku kepada pasukan Perlis.