Liga Super Malaysia Berita

Kurang minit permainan, Beto buat keputusan tinggalkan Perak

Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri membuat keputusan meninggalkan Perak, selepas berkhidmat dengan negeri kelahirannya sejak kecil lagi.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai pasukan utama Perak pada 2015 namun sejak itu beliau masih tidak menjadi pemain utama sama ada dibawah mendiang Karl Heinz Weigang mahupun dibawah kendalian Mehmet Durakovic ketika ini.

Perkara itu mengehadkan peluangnya untuk terpilih beraksi dalam skuad kebangsaan.

“Kali terakhir saya beraksi bersama skuad kebangsaan adalah ketika kita tewas 1-4 kepada Korea Utara pada 2017, jadi saya memang teruja untuk kembali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

“Di Perak pun, saya jarang diturunkan dan saya tak mahu prestasi terjejas kerana saya perlukan lebih minit permainan. Kali terakhir saya diturunkan beraksi adalah sewaktu Perak menentang Kelantan United dalam saingan Piala Malaysia pada 7 Nov lalu.”

Justeru, Beto mengesahkan beliau sedang mengadakan rundingan dengan sebuah pasukan kelab di Lembah Klang dan bakal menandatangani kontrak dalam tempoh terdekat.

“Bagi saya, musim 2021 adalah tempoh bagi saya untuk bangkit semula dan mencipta nama bersama pasukan baharu yang bakal saya wakili.”

Beliau memulakan karier bersama skuad Piala Belia Perak pada 2012, sebelum menyertai skuad Piala Presiden Perak setahun kemudian dan menyaksikan beliau membantu negerinya muncul juara pada 2014.

Beto juga pernah disenaraikan oleh bekas pengendali skuad B-19 negara, Datuk Ong Kim Swee untuk menyertai skuad Harimau Muda pada 2013, namun mengambil keputusan kembali ke Perak, setahun kemudian.