Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United jalin kerjasama dengan Yakult, bakal dapat dua import Jepun

Kelantan United dilaporkan akan mendapatkan dua pemain import dari Jepun menjelang saingan Liga Malaysia musim 2021.

Presiden kelab, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata khidmat pemain import dari negara matahari terbit itu adalah hasil daripada kerjasama antara kelab dan syarikat minuman probiotik Yakult (M) Sdn Bhd.

“Salah seorang pemain adalah legenda yang pernah beraksi bersama sebuah kelab di Liga Jepun manakala seorang lagi mempunyai pengalaman bermain dengan beberapa pasukan pada saingan liga sebelum ini.

“Jalinan kerjasama ini juga melibatkan penajaan persiapan pasukan bagi mengharungi saingan Liga-M 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelantan United turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Yakult Sdn Bhd Hiroshi Hamada yang membuat tajaan ke atas dua pemain Jepun itu.

Selain itu, Che Abdullah berkata Kelantan United juga akan menjalinkan kerjasama strategik bersama sebuah lagi syarikat dari Jepun dalam mendapatkan input teknologi sukan bola sepak serta bekerjasama dengan kelab-kelab bola sepak dari negara itu.

“Syarikat itu akan kami umumkan nanti bersama Yakult yang mana mereka turut menjadi sebahagian daripada penajaan KUFC di Liga Malaysia pada musim 2021,” katanya.

Sebelum ini, Kelantan United membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak tiga pemain import iaitu pertahanan Maghribi, Adil Kouskous, pemain Brazil Alyton Alemeo dan pemain Gambia, Gassama Al-Fussainey.

Kelantan United menamatkan saingan di tangga ke-8 dalam Liga Premier, dengan mengumpul 12 mata daripada 11 perlawanan.